Jumaat, 11 November 2011

Niat Yang Baik Pasti Membawa Kepada Kebaikkan dan Kejayaan





















Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan musababnya. Itu adalah fitrah kehidupan. Oleh itu, niat kita untuk melakukan sesuatu perkara sudah pasti kerana motif tertentu bagi mencapai objektif yang tertentu terutama dalam memenuhi keperluan kehidupan.

Konsep inilah juga yang diajar dalam agama Islam. Sesuatu perkara yang hendak kita lakukan, mesti dimulakan dengan niat hanya kerana Allah swt. Begitu juga dalam solat 5 waktu. Semua itu, agama mengajar kita agar sebelum kita memulakan sesuatu itu, mesti bermula dengan niat. Kerana, niat yang baik, akan membawa kepada kebaikkan dan kejayaan juga diakhirnya.


Bertolak dari niat itulah, maka sesuatu perkara itu akan mula kita rancang dengan baik dan tersusun untuk melaksanakannya.

Begitu juga dengan perniagaan. Sesebuah perniagaan yang hendak kita ceburi atau mentadbirnya, sudah tentu datang dari niat atau motif yang tertentu. Oleh itu, sebelum kita memulakan langkah membina perniagaan kita sendiri, kita perlu mengenal pasti dengan betul dan tepat, apakah niat kita sebenar untuk  membuka perniagaan tersebut. Diantara niat-niat yang mungkin terlintas dihati kita adalah seperti:

  1. Minat yang mendalam untuk menceburi bidang perniagaan. Dan hanya menunggu peluang yang baik untuk melaksanakannya.
  2. Yakin bahawa dengan memiliki perniagaan, kita mampu meningkatkan taraf kehidupan dalam memenuhi keperluan kehidupan dengan lebih baik. Ini sesuai dengan hadith Rasulullah saw yang bermaksud, bahawa 9/10 adalah dari hasil perniagaan.
  3. Minat tertentu pada sesebuah konsep perniagaan, seperti membuka restoran, kedai salon kecantikan, bidang pembinaan, bidang pendidikan, perubatan, pakaian, hiburan dan sebagainya. Kebiasaanya mereka ini, ada memiliki kepandaian atau skil dalam bidang-bidang tertentu, samada dari kursus-kursus latihan yang diikuti ataupun hasil didikan dari keluarga sendiri sejak dari kecil lagi.
  4. Terpaksa mencari pendapatan sampingan untuk menyara keluarga, kerana gaji yang diperolehi hasil dari pekerjaan tidak mencukupi.
  5. Ikut-ikutan dengan rakan-rakan yang berniaga. Mungkin kerana dipaksa oleh rakan-rakan (terutama dalam perniagaan berkonsepkan MLM). Dan sebagainya.

Walau apapun niat atau motif kita, kita perlu mengenal pasti dengan betul dan tepat, niat sebenar kita ingin menceburi bidang perniagaan tertentu. Ini adalah bertujuan, agar kita mampu melihat kepada objektif perniagaan itu secara keseluruhannya untuk kita capai setelah kita membuka perniagaan itu nanti. Dengan cara ini, perniagaan kita akan lebih terarah atau fokus.

Bagi mereka yang mempunyai niat atau motif untuk membuka perniagaan disebabkan oleh  salah satu niat yang bermula dengan nombor 1 hingga nombor 3 atau kombinasi dari itu, maka anda ada kemungkinan untuk berjaya lebih jauh kehadapan berbanding dengan mereka yang mempunyai niat atau motif disebabkan oleh bermula dengan nombor 4 dan nombor 5. Kerana mereka yang mempunyai niat disebabkan, minat, mempunyai kemahiran dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap perniagaan yang hendak diceburi, mereka ini tahu apa yang mereka lakukan. Dan mereka itu juga lebih terarah atau fokus dalam perniagaan, berbanding dengan niat, mereka yang disebabkan oleh terpaksa dan ikut-ikutan. Ingatlah, bahawa perniagaan bukan sesuatu yang perlu kita perjudikan. Dan bukan juga terpulang kepada nasib. Awal perniagaan perlu disertakan dengan niat yang betul dihati dan jelas di minda.




Betulkan niat kita sebelum melakukan sesuatu. Niat atau motif yang baik, akan membawa kebaikkan juga kepada pemilik perniagaan tersebut. Dan sudah tentu, dengan niat yang baik itu jugalah akan membawa pemiliknya jauh lebih maju kehadapan, setapak demi setapak, dengan mendapat berkat dan rahmat dari Allah swt.


Ingatlah, bahawa niat yang baik pasti akan membawa kepada kebaikkan juga. Insya'Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan