Rabu, 2 November 2011

Sekapur Sirih Sekalung Kasih





Sekapur sirih.

Assalamualaikum (Salam sejahtera ke atas kamu) saya ucapkan kepada pelayar internet yang singgah di Blog Pentadbiran Perniagaan ini.

Sudah tentu, ada sesuatu yang menarik perhatian anda untuk anda meluangkan masa dan berhenti seketika untuk membaca bahan-bahan artikel didalam blog saya ini. Walau apapun sebabnya, kehadiran anda, amat saya hargai dan dialu-alukan dan juga didahului dengan ucapan terima kasih.

Telah lama saya fikirkan untuk membuka satu blog khusus untuk bidang perniagaan, bidang yang memang saya minati. Tujuannya adalah untuk saya berkongsi ilmu dari pengajian saya dalam jurusan MBA, bahan-bahan bacaan atau pembelajaran melalui kes-kes perniagaan (case study) tertentu dan juga dari pengalaman saya sendiri dalam alam pekerjaan dan juga mentadbir perniagaan, samada perniagaan yang berorientasikan keuntungan (Profit oriented) ataupun bukan berorientasikan keuntungan (Non-Profit Oriented).

Minat

Minat saya pada jurusan perniagaan, bermula sejak dari bangku sekolah lagi. Sejak dari kecil emak dah mula berniaga secara kecil-kecilan. Secara tidak langsung, saya juga terlibat sama didalam aktiviti-aktiviti perniagaan tersebut. Bermula dari pemprosesan, pembungkusan, sehingga kepada aktiviti penjualan.

Perniagaan adalah suatu bidang yang amat luas dan komplek. Ianya memiliki bahagian yang saling berhubungan dan saling bergantungan antara satu dengan yang lain.  Saya dapati, dari pembelajaran dan pengalaman saya sendiri, perniagaan adalah satu seni, sains, teknologi, kejuruteraan, sosiologi, Psikologi dan yang paling menariknya, ianya penuh dengan perancangan dan strategi. Strategi perniagaan hanya akan dilaksanakan setelah semua informasi-informasi yang tepat diperolehi. Dan hasil dari kajian dan analisa terhadap semua informasi-informasi itu, maka barulah satu keputusan akan dibuat untuk melaksanakan strategi yang terbaik dan berkesan dalam memastikan kesinambungan sesebuah perniagaan dan seterusnya perkembangan perniagaan itu sendiri. Sama seperti strategi ala kententeraan dimedan peperangan. Begitu jugalah dengan medan perniagaan yang sebenar diluar sana. Tetapi bezanya, strategi dalam perniagaan bukan tujuan untuk membunuh pihak lawan atau pesaing perniagaan kita. Tetapi lebih kepada perkembangan perniagaan itu sendiri dan memanfaatkan setiap kekuatan yang kita miliki dan peluang yang ada, bagi mengatasi kelemahan yang ada dalam perniagaan kita itu dan bersedia menghadapi segala ancaman atau risiko yang mungkin akan kita hadapi nanti didalam medan perniagaan yang sebenar diluar sana.

Oleh itu, kerana minat saya ini dan juga sedikit ilmu dan pengalaman yang tidak seberapa saya miliki ini, maka sudah tiba masanya untuk saya memulakan sesuatu, walaupun sedikit untuk dikongsi dengan rakan-rakan diluar sana yang mempunyai minat yang sama. Agar dari penulisan saya didalam blog yang bertuah ini nanti, mampu menyalurkan maklumat-maklumat yang berguna dan berfaedah, kaedah-kaedah atau teknik-teknik yang boleh diguna pakai kepada perniagaan kita pula seperti mana yang diguna pakai oleh syarikat-syarikat yang kecil sehingga kepada syarikat-syarikat yang besar dan berjaya dalam pentadbiran perniagaan mereka untuk manfaat kita bersama. Insya'Allah.

Kesedaran

Terdapat ramai rakan-rakan kita diluar sana yang berminat untuk menerajui perniagaan mereka sendiri. Samada secara perseorangan ataupun secara perkongsian. Secara kecil-kecilan atau secara besar-besaran. Tetapi ramai juga yang buntu, dari mana hendak bermula dan bagaimana untuk bermula.

Bagi mereka yang telah bermula, dan seterusnya berjaya dalam perniagaan mereka, tahniah saya ucapkan. Idea, pendapat atau nasihat dari anda juga sangat saya alu-alukan dan menghargainya untuk dititipkan didalam Blog Pentadbiran Perniagaan ini.

Tetapi kita jangan lupa, bahawa terdapat juga ramai rakan-rakan kita yang tidak berjaya dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi. Persoalannya; Dimanakah silapnya? Kerana, setiap yang berlaku pasti ada sebab dan akibatnya (Cause and Effect). Kita tidak boleh menolak takdir, kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hikmahnya hanya akan kita perolehi, jika kita ingin belajar dan memperbaiki kesilapan kita itu. Agar kita boleh bangkit semula dan melompat lebih jauh.

Itu bagi yang telah bermula. Ada yang berjaya dan ada yang gagal. Bagi mereka yang gagal, sekurang-kurangnya mereka telah memulakan satu langkah yang berani, iaitu berani untuk bermula. Ianya adalah, satu-satunya keputusan dan tindakan yang sangat penting dan utama. Bagaimana pula bagi mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan, tetapi tidak tahu dari mana mereka harus bermula dan bagaimana untuk bermula? Kedua-dua persoalan itu, seperti darimana dan bagaimana adalah dua persoalan asas yang sangat penting untuk dijawap dengan betul dan tepat sebelum kita hendak memulakan sesuatu. Kerana permulaan yang betul akan membuatkan perlaksanaan yang lainnya lebih jelas dan tersusun dengan baik. Insya'Allah.

Justeru itu, saya juga menyeru kepada rakan-rakan perniagaan diluar sana untuk bersama-sama dengan saya agar berkongsi dengan rakan-rakan yang lain, yang memerlukan ilmu, pendapat dan juga pengalaman dalam Blog Pentadbiran Perniagaan ini dalam memberikan maklumat dan informasi yang terbaik untuk kita sama-sama memandaikan umat Islam secara keseluruhannya. Sama-sama kita jadikan Blog Pentadbiran Perniagaan ini, sebagai satu wadah perkongsian dan perbincangan dua hala. Semoga usaha kita ini diredhai dan dirahmati oleh Allah swt. Insya'Allah. Amin.

Mistik dalam perniagaan

Ramai yang beranggapan, bahawa perniagaan adalah satu perjudian. Perniagaan bukanlah satu bidang perjudian. Itu adalah konsep yang tidak tepat sama sekali.  Kerana, perniagaan memerlukan pentadbiran dan pengurusan yang baik, betul, cekap dan telus untuk memastikan sesebuah perniagaan itu berjaya dan seterusnya berkembang. Itu adalah matlamat yang asas bagi seorang usahawan. Dalam Islam sendiri menggalakkan umatnya berniaga, sepertimana yang termaktub didalam kitab suci Al-Quran dan juga Hadith Nabi saw. Jika perniagaan itu berkonsepkan perjudian, maka sudah tentu, bidang perniagaan itu haram hukumnya disisi agama. Perniagaan itu sendiri tidak haram, yang membuatkan sesuatu perniagaan itu haram adalah kita sendiri. Saya bukan orangnya untuk menceritakan halal atau haram. Saya percaya ramai orang-orang yang arif dan berpengetahuan didalam bidang agama yang boleh menjawap persoalan ini dengan lebih jelas lagi.

Bagaimana saya menyusun penulisan dalam blog saya ini?

Adalah mustahil untuk saya menyentuh semua perkara mengenai pentadbiran perniagaan. Walau bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik untuk memberikan kandungan-kandungan yang terbaik dan juga konsep-konsep tertentu dalam pentadbiran perniagaan agar kita sama-sama mampu memahaminya dengan lebih mudah dan seteruskan memperaktikkannya dengan berkesan. Insya'Allah.

Susunan penulisan saya ini bukan seperti susunan buku-buku teks pengajian tinggi mengenai perniagaan. Saya hanya akan menulis mengikut tajuk-tajuk tertentu mengikut kesesuaian dan juga jika ada permintaan dari rakan-rakan.

Walau bagaimanapun, didalam Blog Pentadbiran Perniagaan ini, saya akan menyentuh beberapa tajuk utama dan penting secara asas. Agar kita mampu memahami konsep pentadbiran sesebuah perniagaan. Diantara tajuk-tajuk utama yang akan saya sentuh dalam penulisan saya itu nanti adalah seperti dibawah:
  1.     Pemasaran (Marketing)
  2.     Pengurusan Operasi (Business Operation)
  3.     Keusahawanan (Entreprenuership)
  4.     Kewangan (Financial)
  5.     Perancangan Strategi (Strategic Planning)
  6.     Etika perniagaan (Business Ethique)

Tajuk-tajuk utama diatas akan saya guna pakai sebagai "LABEL" dalam setiap artikel saya itu nanti. Oleh itu jika anda mahu membaca pada tajuk-tajuk tertentu didalam blog saya itu, sila rujuk kepada label-label tertentu pada setiap artikel tersebut.

Teori vs Praktikal

Saya tidak menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan teori semata-mata. Saya lebih suka kepada sesuatu yang praktikal untuk diaplikasikan dan diamalkan didalam mentadbir sesebuah perniagaan. Bukan bermakna teori tidak penting. Teori tetap penting. Kerana dari teori lah, maka datangnya praktikal. Tanpa teori, maka tiada praktikal. Tanpa penemuan teori-teori yang baru, maka dunia tidak akan berkembang pesat dan maju. Teori adalah asasnya. Jika kita faham teorinya, maka kita tahu apa yang kita lakukan dengan lebih baik dan bermakna. Tetapi saya tidak akan menyentuh sesuatu teori secara detail atau mendalam. Saya akan lebih menjurus kepada aplikasi.

Justeru itu, bagi artikel yang memerlukan kesinambungannya, maka saya akan meletakkan siri pada setiap tajuk pada artikel tersebut. Saya akan cuba menggarap satu penulisan yang tersusun, agar pembaca, mudah untuk mengikuti dan memahami konsep sesuatu tajuk itu secara turutan. Saya akan cuba menggunakan bahasa Melayu yang mudah untuk difahami sepenuhnya.

Insya'Allah. mudah-mudahan usaha saya ini dan juga sokongan dan bantuan dari pelbagai bentuk dari rakan-rakan diluar sana akan mendapat restu dari Allah swt dengan niat yang baik untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan perniagaan yang lain. Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat manfaatnya. Amin.

Kepada siapakah Blog Pentadbiran Perniagaan ini ditujukan?

Blog Pentadbiran Perniagaan ini, saya tujukan khas untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan atau yang baru sahaja memulakan perniagaan. Kepada mereka yang telah lama didalam bidang perniagaan, mungkin anda boleh menyegarkan kembali ingatan anda. Semoga kita semua mendapat manfaatnya bersama. Insya'Allah.

Seperti yang saya katakan dari awal tadi, bahawa Blog Pentadbiran perniagaan ini adalah untuk kita sama-sama berkongsi ilmu, pendapat dan juga pengalaman. Sebarang kesilapan atau kerugian hasil dari pengamalan dan penggunaan apa sahaja kaedah-kaedah yang ada didalam Blog Pentadbiran Perniagaan ini adalah dibawah tanggungjawap anda sepenuhnya. Saya tidak akan bertanggungjawap kepada sebarang kerugian yang anda hadapi itu. Harap maklum.

Selamat membaca dan berkongsi ilmu.



Rushdi b, Hj Baharum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan