Isnin, 14 November 2011

Ciri-Ciri Usahawan Berjaya (Bhg 3)


Dari artikel yang sebelum ini Ciri-Ciri Usahawan Berjaya (Bhg 2), kita telah mengetahui beberapa sifat-sifat  atau ciri penting seorang pemimpin yang perlu ada untuk kita berjaya didalam perniagaan.
Tetapi persoalan yang belum terjawap adalah:
  • Apakah kita mempunyai karektor-karektor seperti itu?
  • Jika tidak, apakah kita tidak boleh menjadi seorang usahawan yang berjaya? 
  • Apakah kita boleh memiliki karektor-karektor seperti itu?
Suka saya ingatkan disini bahawa, seseorang pemimpin itu bukan dilahirkan. Tetapi mereka perlu dibentuk, diasuh dan dididik untuk menjadi seorang pemimpin. Ini sesuai dengan hadith Nabi saw yang bermaksud, bahawa seseorang anak itu umpama lembaran kain berwarna putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi atau Majusi.


"Seseorang anak itu umpama lembaran kain berwarna putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi atau Majusi."

Oleh itu, jelas disini, bahawa sifat-sifat dan keperibadian manusia itu, perlu dididik, diasuh dan dilatih sejak dari kecil lagi. Tetapi bagi kita yang telah dewasa, tidak bermakna kita tidak memiliki sifat-sifat kepimpinan, maka kita tidak mampu menjadi seorang pemimpin. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita mempelajarinya dan mengamalkan sifat-sifat dan keperibadian sebagai seorang pemimpin.

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Kemudian Allah menyatakan kepada para malaikat bahawa manusia akan dijadikan khalifah di muka bumi. Maka para malaikat bertanya kepada Allah: "Adakah patut Engkau jadikan seorang khalifah di atas bumi yang akan berbuat binasa dan menumpahkan darah (bunuh-membunuh), sedang kami sentiasa tasbih memuji Kau?". Firman Allah; "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak Kamu ketahui". Kerisauan para malaikat hilang mendengar penjelasan Allah" -. (Al Baqarah: 30)

Dari ayat diatas menunjukkan bahawa sifat-sifat seorang khalifah / pemimpin itu, memang telah sedia ada didalam diri seseorang manusia sejak ianya diciptakan oleh Allah swt. Oleh itu, tidak timbul bahawa setiap manusia itu tidak mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin. Apa yang perlu, adalah diasuh, diasah dan dilatih. Umpama sebutir berlian yang perlu dicanai sehingga berkilauan dan tinggi harganya. Mereka yang menjadi pemimpin adalah mereka yang dididik, diberi ilmu dan diasuh untuk menjadi seorang pemimpin.



Kita perlu melihat kembali kepada diri kita sendiri. Pengalaman hidup dan juga ilmu dan didikan yang telah kita timba selama mana kita hidup selama ini.

Tanpa ciri-ciri atau sifat-sifat kepimpinan, kita tidak akan mampu menerajui dan mentadbir perniagaan dengan berjaya.

Jika kita dapati banyak diantara ciri-ciri kepimpinan itu tiada didalam diri kita, bukan bermakna sifat-sifat itu tiada. Sifat-sifat kepimpinan itu memang telah sedia ada didalam diri kita, hanya kita perlu menuntut ilmu (samada secara formal DAN secara tidak formal) dan berlatih dengan ciri-ciri kepimpinan seperti itu dari masa kesemasa tanpa rasa jemu dan berputus asa. Insya'Allah, diatas ilmu yang kita tuntut dan latihan yang kita lakukan, akan membawa hasil yang kita ingini untuk mejadi seorang pemimpin yang berkalibar dan seterusnya menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Untuk menjadi seorang pemimpin, ilmu adalah penting. Perkataan “ilmu” disebut kira-kira 750 kali dalam Al-Qur’an melalui berbagai bentuk (Muhammad Dawilah,1993:9). Orang yang berilmu diberikan pujian dan dipandang mulia di sisi Islam. Hal ini dapat kita lihat melalui banyak ayat Al-Qur’an antaranya:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
            “Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu”.  (Az-Zumar:9)

Firman Allah S.W.T maksudnya:
“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beerti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”. (Al-Baqarah:269)

Firman-Nya lagi maksudnya:
            “Hanya sanya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu”.   (Al-Faatir:28)



Seorang pemimpin perlu ada keyakinan diri dan disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamatnya. Mereka tidak mengenal erti putus asa. Mereka juga mempunyai matlamat yang jelas diminda mereka sehingga tindak tanduk mereka mengarah kepada apa yang ada diminda mereka.

Di artikel yang akan datang saya akan sentuh sedikit mengenai gaya kepimpinan (Leadership Style). Apakah jenis-jenis gaya kepimpinan yang ada? Gaya kepimpinan apakah yang popular diamalkan oleh kebanyakan pemimpin didalam mentadbir sesebuah perniagaan?

Ciri-Ciri Usahawan Berjaya (Bhg 2)



Pada artikel yang sebelum ini, saya berjanji untuk menjawap persoalan-persoalan dibawah:

  • Apakah karektor-karektor yang membawa kepada kejayaan seseorang usahawan itu? Atau
  • Apakah ciri-ciri yang mesti dimiliki oleh seseorang usahawan untuk berjaya?

Terlalu banyak ciri-ciri usahawan-usahawan hebat yang boleh kita fikirkan, dan malah banyak buku2 motivasi perniagaan yang menceritakan ciri-ciri mereka yang hebat itu. Tetapi faktor terpenting yang hendak saya sentuh disini untuk seseorang menjadi usahawan yang berjaya adalah ciri-ciri atau sifat-sifat sebagai seorang ketua dan pemimpin yang hebat yang ada didalam diri setiap mereka yang berjaya.

Mengapa karektor seorang pemimpin adalah merupakan karektor yang terpenting dan perlu ada bagi menentukan kejayaan seseorang usahawan mentadbiran perniagaan mereka?

Ini adalah persoalan yang menarik. Malah pelbagai teori yang telah dihasilkan oleh pelbagai pihak akademik diseluruh dunia, dan mereka bersetuju, bahawa karektor seorang pemimpin perlu ada dalam diri seseorang usahawan untuk mereka berjaya dalam bidang perniagaan.

Mentadbir sesebuah perniagaan kita sendiri, sudah tentu kita mempunyai pekerja-pekerja dibawah pengawasan anda. Tidak kiralah pekerja yang ramai ataupun sedikit bilangannya. Semakin maju sesebuah perniagaan itu, maka semakin ramailah pekerja yang bekerja dibawah anda.

Untuk memastikan pekerja dibawah anda, bekerja seperrti mana yang anda harapkan, maka anda perlu mempunyai sifat kepimpinan. Kerana, seorang pemimpin, mereka memimpin manusia dibawah mereka bagi mencapai matlamat yang telah mereka tetapkan untuk mencapainya pada sesuatu tempoh yang telah ditetapkan.

Sebelum saya mengupas persoalan ini, ada baiknya kita lihat dahulu apakah maksud kepimpinan atau "leadership" itu sendiri oleh para ilmuan.

"Leadership is an influence relationship among leaders and followers who intend real changes and outcomes that reflect their shared purposes."

Atau dengan kata lainnya; "Kepimpinan adalah suatu hubungan yang mempunyai pengaruh dikalangan pengikutnya dan juga dikalangan pemimpin itu sendiri yang mana mereka ini ingin melakukan sesuatu perubahan dan mencapai hasil sepertimana matlamat yang telah mereka persetujui bersama."


Perlu diingatkan disini, bahawa pengurusan adalah berbeza sama sekali dengan kepimpinan. Diantara sifat-sifat utama kepimpinan adalah:

  • Mereka mencipta / memiliki visi dan strategi.
  • Mencipta sebuah budaya dan nilai-nilai yang dikongsi bersama. (Bekerjasama / Kerja berkumpulan)
  • Membantu orang lain berkembang.
  • Mengurangkan garisan pemisah.
  • Lebih memberikan tumpuan mereka kepada orang - memberi inspirasi dan motivasi kepada pengikutnya.
  • Berdasarkan kuasa peribadi.
  • Bertindak sebagai jurulatih, fasilitator.
  • Perhubungan yang mempunyai kaitan dengan hati dan perasaan (Emosi dihati)
  • Minda yang terbuka
  • Sedia mendengar (berkomunikasi)
  • Keberanian.
  • Mempunyai wawasan diri


Mari kita lihat satu contoh senario yang pendek yang berlaku kepada seorang usahawan:

Contoh senario:

Aznil (bukan nama sebenar) adalah seorang usahawan, yang memiliki sebuah perniagaan menjual barang-barang pembinaan di Sepang, Selangor. Minat beliau dalam bidang perniagaan membekal barang-barang pembinaan berputik sejak beliau dari bangku sekolah lagi. Disebabkan minat itulah, maka beliau mula mengeluarkan modal sendiri hasil dari duit gaji yang beliau kumpulan 10 tahun dahulu untuk mentadbir perniagaannya sendiri dalam perniagaan membekalkan barang-barang pembinaan. Malahan, pengalaman beliau bekerja dalam bidang ini dengan sebuah syarikat swastas 10 tahun lalu, membuatkan beliau sangat yakin dengan keupayaannya sendiri.

Perniagaan beliau telah beroperasi lebih dari satu tahun yang lalu. Kerja beliau adalah mentadbir perniagaannya sendiri bagi memastikan barang-barang pembinaan seperti pasir, batu, simen dan kayu-kayan dapat dibekalkan secukupnya kepada kontraktor-kontraktor pembinaan untuk tujuan membina rumah dikawasan Sepang, Selangor. Untuk memastikan perniagaan beliau lancar, Aznil menggajikan 6 orang pekerja untuk membantunya dalam menmguruskan perniagaannya itu.

Pada tahun pertama membuka perniagaan, tiada apa-apa masalah yang berlaku. Tetapi setelah 2 tahun beroperasi, perniagaan beliau sering menghadapi masalah.

Diantara masalah yang ketara adalah barang-barang sering tidak mencukupi untuk dibekalkan kepada kontraktor-kontraktor. Malahan, pekerja beliau sendiri telah memaklumkan kepada beliau tentang masalah itu, sejak dari awal lagi. Tetapi, malangnya Aznil seolah-olah acuh tak acuh dengan maklumat tersebut.

Disebabkan masalah itu, maka ramai kontraktor yang tidak lagi membuat sebarang tempahan atau pembelian dari kedai Aznil. Keuntungan juga menyusut dari masa kesemasa. Ini mengakibatkan ada diantara pekerja-pekerja beliau yang tidak dapat dibayar gaji dan terpaksa diberhentikan. Hubungan Aznil dengan pekerjanya juga semakin keruh disebabkan suasana ekonomi syarikat yang tidak menentu. Malahan Pekerja-pekerja beliau sudah mula hilang keyakinan terhadap cara Aznil mentadbir perniagaannya. Dan menyebabkan Aznil sukar mendapat sokongan dari pekerja-pekerjanya sendiri.

Lama kelamaan, Aznil menanggung kerugian yang bukan sedikit. Sehingga beliau terpaksa menutup perniagaan pada tahun yang berikutnya.

Diatas adalah salah satu senario yang biasa kita dengar tentang masalah usahawan. Tidak kiralah, apa jua jenis perniagaan.

Persoalannya;
Apakah yang menyebabkan Aznil tidak dapat membekalkan barang-barang pembinaan yang secukupnya kepada pelanggan beliau sehingga mengakibatkan perniagaannya terpaksa menanggung kerugian dan akhirnya terpaksa ditutup? Sudah tentu ada sebabnya yang mengakibatkan masalah itu berlaku.



Seperti yang saya katakan diatas tadi. Sebelum kita melihat masalah yang datang dari luar, adalah lebih baik kita melihat terlebih dahulu masalah yang datang dari diri kita sendiri.

Mengikut contoh senario diatas, ada beberapa faktor yang menyebabkan perniagaan Aznil menghadapi masalah dan seterusnya mengalami kerugian. Kita hanya akan menyentuh masalah yang kemungkinan boleh datang dari dalam diri Aznil. Diantaranya adalah:

  • Aznil tidak memeriksa tahap simpanan barang-barang pembinaan beliau dari masa kesemasa.
  • Beliau sering lewat membuat tempahan barang-barang pembinaan tersebut, pada masa yang sepatutnya.
Oleh itu, dimanakah silapnya? Adakah barang-barang beliau tiada permintaan? Adakah kerana pembekal tidak menghantar bekalan kepada kedai Aznil dengan secukupnya? Sudah tentu tidak. Contoh senario diatas, jelas menunjukkan bahawa masalah itu datang dari diri Aznil sendiri. Iaitu, beliau tidak memeriksa tahap simpanan barang-barang pembinaan beliau sehingga beliau lewat membuat tempahan barang-barang yang secukupnya untuk dibekalkan pula kepada pelanggan-pelanggannya.

Ini menunjukkan bahawa beliau tidak fokus kepada kerja-kerja beliau yang penting itu. Tiada tumpuan berlaku adalah disebabkan Aznil tidak mempunyai visi dan strategi. Beliau juga tidak mempunyai wawasan dalam diri. Malahan, masalah yang timbul dalam perniagaannya itu, beliau biarkan berlanjutan sehingga setahun lamanya, tanpa membuat sebarang tindakan atau perubahan kepada cara beliau mentadbir perniagaannya sendiri. Ini membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang perlu ada untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya sepertimana usahawan-usahawan yang telah berjaya. .

Oleh itu, apakah yang perlu Aznil ubah? Apakah yang Aznil boleh belajar dari kesilapan tersebut? Semuanya harus bermula dari dalam diri Aznil sendiri. Untuk berjaya, beliau perlu mempunyai sikap yang proaktif dalam mentadbir perniagaannya, bersungguh-sungguh atau sirius kepada masa depan perniagaannya. Fokus terhadap masa depan perniagaan beliau. Dan yang paling penting, beliau perlu mempunyai sifat kepimpinan sebagai seorang usahawan. Sifat-sifat kepimpinanlah yang paling penting bagi seseorang usahawan untuk berjaya.



Oleh itu, untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kita perlu mempunyai sifat-sifat kepimpinan seperti yang tersenarai diatas tadi.

Diartikel yang akan datang pula, saya akan menjawap persoalan:
  • Apakah kita mempunyai karektor-karektor seperti itu?
  • Jika tidak, apakah kita tidak boleh menjadi seorang usahawan yang berjaya? 
  • Apakah saya boleh memiliki karektor-karektor seperti itu?



Ahad, 13 November 2011

Ciri-Ciri Seorang Usahawan Berjaya. (Bhg 1)



Pada arikel yang lepas, saya telah menceritakan mengenai hal pentingnya seseorang itu mengenal pasti niat atau motif sebenar kita untuk mentadbir sesebuah perniagaan. Dan seterusnya memperbetulkan niat kita sebelum kita ingin meneruskan niat itu agar menjadi kenyataan. Sila rujuk artikel itu disini.

Untuk artikel kali ini pula, saya akan menyentuh tentang ciri-ciri atau karektor yang mesti dimiliki oleh seseorang usahawan perniagaan.

Tajuk ini, saya pilih, kerana, kepentingannya dalam menentukan kesinambungan dan perkembangan perniagaan seseorang usahawan. Yang mana kejayaan itu mestilah bermula dari dalam diri kita sendiri. Sikap dan karektor yang perlu ada dalam diri seseorang usahawan itu, akan memastikan mereka ini berdiri teguh dan berkeyakinan tinggi dalam membina empayar perniagaan mereka walau dalam apa keadaan sekalipun. Samada, ketika menghadapi masalah dalaman perniagaan itu sendiri sehinggalah kepada faktor luaran seperti ketidak ketentuan ekonomi negara atau dunia.


Kita sering kali mendengar, kehebatan seseorang usahawan, samada usahawan tempatan ataupun usahawan dari luar negara. Ramai yang boleh kita namakan disini. Diantara 10 orang usahawan tempatan yang terkaya di Malaysia adalah seperti:
  1. Robert Kuok Hock Nien $10 bilion (Kuok Empire, Shangri La, Wilmer International etc)
  2. Ananda Krishnan $7.2 bilion (Maxis, Astro)
  3. Lee Shin Cheng $5.5 bilion (IOI Group)
  4. Teh Hong Piow $3.5 bilion (Public Bank)
  5. Lee Kim Hua & keluarga $3.4 bilion (Genting Berhad, balu Lim Goh Tong)
  6. Quek Leng Chan $2.4 bilion (Hong Leong Group, Guoco Group)
  7. Yeoh Tiong Lay & keluarga $2.1 bilion (YTL Corp)
  8. Syed Mokhtar Al-Bukhary $1.8 bilion (MMC, Johor Port, Malakoff)
  9. Vincent Tan $1.3 bilion (Berjaya Group)
  10. Tiong Hiew King $1.1 bilion (Rimbunan Hijau)

Source: http://ms.wikipedia.org/wiki/Senarai_orang_terkaya_di_Malaysia

Dan diantara 10 usahawan yang terkaya didunia adalah seperti:
  1. Carlos Slim and family
  2. Bill Gates
  3. Warren Buffett
  4. Bernard Arnault
  5. Lawrence Ellison
  6. Lakshmi Mittal
  7. Amancio Ortega
  8. Eike Batistap
  9. Mukesh Ambani
  10. Christy Walton
Source: http://en.wikipedia.org/wiki/Forbes_list_of_billionaires_(2011)

Kejayaan tidak datang bergolek begitu sahaja dan dapat kita kecapi dengan mudah. Sudah tentu, ada faktor-faktor tertentu yang menyebabkan mereka ini berjaya sebegitu hebat. Pasti ramai yang bertanyakan soalan; Apakah yang menyebabkan mereka boleh berjaya sehebat itu? Ini adalah persoalan yang sangat popular dan menjadi penyelidikan oleh pakar-pakar dan juga ahli-ahli akademik diseluruh dunia. Tidak dinafikan, bahawa banyak faktor-faktor yang terlibat yang membawa seseorang itu kepada kejayaan. Tetapi diantara faktor penting dan utama penyebab kepada kejayaan seseorang itu adalah datang dari dalam diri seseorang itu sendiri. Ini sesuai dengan firman Allah swt yang bermaksud bahawa Allah swt tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri merubahnya.



QS Ar-ra'd ayat 11:


لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللّهِ إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللّهُ بِقَوْمٍ سُوءاً فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ
١١--
"baginya (setiap manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya secara bergiliran di depan dan di belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya. Sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain dia."

Sumber : http://www.hajsmy.us/2011/08/allah-tidak-akan-merubah-nasib-suatu.html#ixzz1daCtUWE7


Jelas disini menunjukkan, bahawa kejayaan ataupun kekecewaan seseorang itu adalah hasil dari perbuatan atau kerja tangan mereka sendiri. Ianya datang dari dalam diri kita sendiri. Dan Allah swt menyeru agar kita merubah keadaan yang ada pada diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum kita melihat kepada faktor-faktor penyebab kepada kegagalan yang lain diluar.

Itulah maksud perkataan "yang ada pada diri mereka" yang dirujuk dalam ayat Al-Quran diatas tadi. Apakah yang ada pada diri kita sendiri untuk kita ubah? Sudah tentu tidak lain dan tidak bukan, iaitu sikap atau karektor yang ada pada individu itu sendiri. Itulah yang ada pada diri kita. Jika sikap atau karektor kita itu baik, maka baiklah jadinya. Dan sebaliknya.


Persoalan yang paling penting untuk dijawap sekarang adalah; 
  • Apakah karektor-karektor yang membawa kepada kejayaan seseorang usahawan itu? Atau
  • Apakah ciri-ciri yang mesti dimiliki oleh seseorang usahawan untuk berjaya?

Dan soalan seterusnya yang perlu kita tanya pada diri kita sendiri; 
  • Apakah kita mempunyai karektor-karektor seperti itu?
  • Jika tidak, apakah kita tidak boleh menjadi seorang usahawan yang berjaya? 
  • Apakah saya boleh memiliki karektor-karektor seperti itu?
Semua persoalan ini akan saya jawap satu persatu diartikel saya yang akan datang.

If you wanna make a better place
Take a look at yourself
And then make a change.

Jumaat, 11 November 2011

Niat Yang Baik Pasti Membawa Kepada Kebaikkan dan Kejayaan





















Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan musababnya. Itu adalah fitrah kehidupan. Oleh itu, niat kita untuk melakukan sesuatu perkara sudah pasti kerana motif tertentu bagi mencapai objektif yang tertentu terutama dalam memenuhi keperluan kehidupan.

Konsep inilah juga yang diajar dalam agama Islam. Sesuatu perkara yang hendak kita lakukan, mesti dimulakan dengan niat hanya kerana Allah swt. Begitu juga dalam solat 5 waktu. Semua itu, agama mengajar kita agar sebelum kita memulakan sesuatu itu, mesti bermula dengan niat. Kerana, niat yang baik, akan membawa kepada kebaikkan dan kejayaan juga diakhirnya.


Bertolak dari niat itulah, maka sesuatu perkara itu akan mula kita rancang dengan baik dan tersusun untuk melaksanakannya.

Begitu juga dengan perniagaan. Sesebuah perniagaan yang hendak kita ceburi atau mentadbirnya, sudah tentu datang dari niat atau motif yang tertentu. Oleh itu, sebelum kita memulakan langkah membina perniagaan kita sendiri, kita perlu mengenal pasti dengan betul dan tepat, apakah niat kita sebenar untuk  membuka perniagaan tersebut. Diantara niat-niat yang mungkin terlintas dihati kita adalah seperti:

  1. Minat yang mendalam untuk menceburi bidang perniagaan. Dan hanya menunggu peluang yang baik untuk melaksanakannya.
  2. Yakin bahawa dengan memiliki perniagaan, kita mampu meningkatkan taraf kehidupan dalam memenuhi keperluan kehidupan dengan lebih baik. Ini sesuai dengan hadith Rasulullah saw yang bermaksud, bahawa 9/10 adalah dari hasil perniagaan.
  3. Minat tertentu pada sesebuah konsep perniagaan, seperti membuka restoran, kedai salon kecantikan, bidang pembinaan, bidang pendidikan, perubatan, pakaian, hiburan dan sebagainya. Kebiasaanya mereka ini, ada memiliki kepandaian atau skil dalam bidang-bidang tertentu, samada dari kursus-kursus latihan yang diikuti ataupun hasil didikan dari keluarga sendiri sejak dari kecil lagi.
  4. Terpaksa mencari pendapatan sampingan untuk menyara keluarga, kerana gaji yang diperolehi hasil dari pekerjaan tidak mencukupi.
  5. Ikut-ikutan dengan rakan-rakan yang berniaga. Mungkin kerana dipaksa oleh rakan-rakan (terutama dalam perniagaan berkonsepkan MLM). Dan sebagainya.

Walau apapun niat atau motif kita, kita perlu mengenal pasti dengan betul dan tepat, niat sebenar kita ingin menceburi bidang perniagaan tertentu. Ini adalah bertujuan, agar kita mampu melihat kepada objektif perniagaan itu secara keseluruhannya untuk kita capai setelah kita membuka perniagaan itu nanti. Dengan cara ini, perniagaan kita akan lebih terarah atau fokus.

Bagi mereka yang mempunyai niat atau motif untuk membuka perniagaan disebabkan oleh  salah satu niat yang bermula dengan nombor 1 hingga nombor 3 atau kombinasi dari itu, maka anda ada kemungkinan untuk berjaya lebih jauh kehadapan berbanding dengan mereka yang mempunyai niat atau motif disebabkan oleh bermula dengan nombor 4 dan nombor 5. Kerana mereka yang mempunyai niat disebabkan, minat, mempunyai kemahiran dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap perniagaan yang hendak diceburi, mereka ini tahu apa yang mereka lakukan. Dan mereka itu juga lebih terarah atau fokus dalam perniagaan, berbanding dengan niat, mereka yang disebabkan oleh terpaksa dan ikut-ikutan. Ingatlah, bahawa perniagaan bukan sesuatu yang perlu kita perjudikan. Dan bukan juga terpulang kepada nasib. Awal perniagaan perlu disertakan dengan niat yang betul dihati dan jelas di minda.




Betulkan niat kita sebelum melakukan sesuatu. Niat atau motif yang baik, akan membawa kebaikkan juga kepada pemilik perniagaan tersebut. Dan sudah tentu, dengan niat yang baik itu jugalah akan membawa pemiliknya jauh lebih maju kehadapan, setapak demi setapak, dengan mendapat berkat dan rahmat dari Allah swt.


Ingatlah, bahawa niat yang baik pasti akan membawa kepada kebaikkan juga. Insya'Allah.